Tuesday, August 27, 2013

Surya dan SMS

Baru seminggu kenal. Sudah berputik rasa kasih dalam hati Surya terhadap Iman. Setiap butir tutur kata Iman bagaikan bait melodi di telinga Surya. Setiap hari dihabiskan masa dengan berSMS dengannya. Kadang-kadang mereka bersembang tentang keluarga, pelajaran dan pengalaman. Kadang-kadang borak kosong sahaja. Namun dalam kegembiraan di hati Surya, wujud juga rasa was-was. Surya bimbang kalau-kalau Iman langsung tidak ada hati terhadapnya, mungkin dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. 

Suatu pagi, Surya terjaga dari tidur. Biasanya dia akan cepat-cepat melihat telefon bimbit sekiranya Iman menghantar SMS ketika dia tidur. Tetapi pada hari itu entah kenapa dia tidak berbuat demikian. Surya ke tandas, ambil wuduk lalu bersolat. Selesai solat, dia pergi ke kedai membeli sarapan untuknya dan ibunya. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Surya masih belum mencapai telefon bimbitnya. Telefon itu dibiarkan di atas meja bersebelahan TV. Lebih kurang 10 minit kemudian, ketika asyik menonton tv, barulah Surya teringat tentang Iman. Cepat-cepat dia melompat mencapai telefonnya itu. Lantas dia menekan butang kekunci. Ada satu SMS. Surya menekan butang tengah.

Tertera di papan skrin : "Awak da bf?". SMS itu dari Iman.

Merah padam muka Surya. Degupan jantungnya semakin kencang. Senyumannya melebar ke telinga. Sesekali dia ketawa-ketawa kecil. Inilah kali pertama orang bertanya padanya sama ada dia sudah berpunya atau belum. Terasa hidupnya riang sekali. Mahunya tidak, selama ini rakan-rakannya semua mengejeknya kerana hanya dia seorang yang tidak mempunyai teman lelaki. 

Sewaktu hendak membalas pesanan SMS itu, tiba-tiba dia teringat sesuatu. Dia harus jual mahal. Tidak semudah itu untuk dia menerima Iman sebagai teman lelaki. Kata orang, hanya perempuan murah sahaja yang senang dibuat teman wanita. Benar. Dia harus jual mahal.

Lalu jari-jemarinya menekan butang pada telefonnya, 

"Maaf lambat reply. Saya belum ada bf. Tapi ramai yang ajak saya couple. Saya perlu masa untuk buat keputusan. Harap awak sanggup tunggu saya"

Pesanan dihantar.

Tidak sampai seminit, Iman membalas pesanan itu,

"Soalan saya tadi: AWAK DAH BREAKFAST??"

Surya menangis malu.

No comments:

Post a Comment