Sunday, August 18, 2013

Kenalan

Tersentak. Tayar bas termasuk ke dalam lubang besar membuatkan bas terhuyung-hayang. Aku terbangun dari tidur. "Dah sampai Jeti", bisikku perlahan. Lantas aku menggalas begku dan mencapai plastik sampah yang digantung pada sisi kerusi. Tak sampai hati nak tinggalkan sampah di atas bas itu. Sementara itu tangan kiri aku teraba-raba mencari telefon bimbitku. Poket kiri, tiada. Poket kanan, tiada. Poket belakang, pon tiada. Lalu aku meniarap, membelek-belek di bawah kerusi, kalau-kalau telefonku terjatuh ketika aku nyenyak tidur.

"Handphone awak..." kedengaran suara seorang gadis. Aku mendongak pantas, hampir-hampir terhantuk pada pemegang kerusi itu. Kelihatan seorang gadis berwajah lembut, bertudung hitam, berbaju ungu dan berseluar jeans biru. Dia menghulurkan telefon bimbitku.

"Oh.. Mana awak jumpa?" soalku lantas mengambil telefonku dari tangannya. 

"Jatuh masa awak tidur tadi. Saya duduk belakang awak. Tak sampai hati nak kejutkan awak. Nyenyak sangat tidur", balas gadis itu sambil ketawa kecil. Aku tersenyum malu.

Setelah mengucapkan terima kasih, aku terus bergerak turun dari bas. Kemudian aku terus menuju ke arah kaunter tiket feri. Hari ini aku perlu pulang ke rumah kakakku di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Nak ajak pergi berkelah bersama keluarga katanya. Bagus juga, aku pon sudah lama tidak berenang. Rindu pula nak menyelam dan berenang kuak lentang di tepi pantai.

Belum sempat aku tiba di tangga untuk ke kaunter feri, tiba-tiba aku terasa seperti diekori. Pantas, aku menoleh ke belakang. Kelihatan gadis tadi terkial-kial mengekoriku dari belakang. Menyedari perbuatannya disedari, terus dia mematikan langkahnya. Aku mengerutkan dahi.

"Awak nak ke mana?" soalku berani.

"Emm.. awak tahu tak macam mana nak pergi Bukit Mertajam dari sini?" soalnya lembut.

"Oh. Maaflah. Saya bukan Penang. Saya duduk Kedah. Tak tahu sangat macam mana nak pergi situ. Tapi kalau tak silap saya, kena naik bas Rapid Penang" jawabku sambil menuding jari ke arah Stesen Bas Rapid Penang berdekatan situ. "Oo.. Okey, thanks" balasnya pula.

Aku pun pusing badan dan bergegas ke arah kaunter tiket, takut-takut ketinggalan feri. Tak sampai beberapa langkah, terasa diriku diekori lagi. Aku memperlahankan langkah kemudian terus berhenti. Aku berpaling ke belakang dan melihat gadis itu masih mengekoriku.

"Kenapa awak ikut saya? Stesen Bas Rapid kan sebelah sana..." kataku sambil menunjuk ke arah yang bertentangan. Gadis itu tidak menjawab, dia hanya tersenyum. Dengan senyuman itu, aku sudah dapat memahami mesej yang hendak disampaikan.

"Ok, jom. Saya bawa awak ke sana" kataku perlahan sambil berpatah balik ke arah Stesen Bas Rapid Penang. Gadis itu terus mengekoriku rapat dengan senyum yang lebar. Sebenarnya gadis itu baru tiba dari Kuala Lumpur. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke utara tanah air. Kedatangannya ke sini adalah untuk ke rumah kawannya di Bukit Mertajam. Walau bagaimanapun, memandangkan dia datang berseorangan, dia langsung tidak tahu bagaimana untuk pergi ke tempat itu. Tambahan pula, ini kan kali pertamanya datang ke negeri ini.

"Kenapa tak telefon kawan awak? Boleh suruh dia datang ambil, kan senang", soalku sambil berjalan.

"Saya dah telefon, dia kata suruh saya naik bas turun di sini. Dia pon ada cakap suruh naik bas Rapid Penang dan turun di Bukit Mertajam, tapi saya takut nak jalan seorang, sebab itu saya minta awak temankan saya, tak mengapa kan?" jawabnya pula.

"Tak apa, feri ada banyak, kalau terlambat pun, saya boleh tunggu next feri" balasku.

Setelah tiba di Stesen Bas Rapid Penang, kami bertanya kepada orang di situ. Nasib baik, orang Penang ramah-ramah belaka. Mereka memberitahu nombor bas untuk ke Bukit Mertajam. Aku mencatat nombor itu dan memberikan kepada gadis tersebut. Sementara menunggu bas tiba, kami berborak seketika untuk menghilangkan rasa letih.

"Awak kerja mana?" gadis itu menyoal. Tersedak aku yang sedang minum air mineral. "Saya belajar lagi, baru habis matrik", balasku menahan batuk.

"Owh, matrik mana?"
"Matrik Pahang"
"Gambang?"
"Yup"

"Awak belajar mana?" aku bertanya.

Kali ini gadis itu pula tersedak. "Saya dah kerja lah" jawabnya. Terdiam seketika aku ketika itu. Aku memandang gadis itu atas dan bawah. Tubuhnya kecil, wajahnya sebaya aku. Sudah kerja?

"Sori kalau saya tanya, awak umur berapa?" aku menyoal.
"Saya 25 tahun. Macam tak percaya kan?" gadis itu ketawa kecil.
"Wah saya kena panggil kakak ni. Beza sampai 7 tahun, tapi muka nampak macam student lagi", kataku berjenaka.
"Haha.. tak payahlah, saya memang macam ni, kadang-kadang orang ingat saya sekolah menengah lagi" gadis itu ketawa lagi.

Setengah jam juga kami bersembang di situ. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Tiba-tiba bas yang ditunggu-tunggu tiba juga.

Aku menarik nafas panjang. "Okeylah awak. Bas awak dah sampai, cepat naik bas." kataku kepadanya.

Gadis itu terus berdiri dan mengangkat begnya. Aku pun turut berdiri sama. Kedua-dua kami terdiam seketika. Kami hanya memerhatikan orang ramai naik turun dari bas tersebut. Terasa sayu pula untuk berpisah dengan gadis itu. Walaupun perkenalan kami hanya seketika, namun sikap ramah dan manjanya membuatkan aku sedikit sebanyak berasa sayang kepadanya.

Lantas aku bangkit dari lamunan. Aku tidak boleh membiarkan nafsu mengganggu hati dan perbuatanku. Aku sedar aku siapa, tidak mungkin untuk aku dan dia menjadi lebih dari kenalan. Tidak mungkin. Tidak mungkin.

"Awak, saya pergi dulu" tiba-tiba gadis itu bersuara. Lemah jantungku mendengar ucapan itu. Berpeluh-peluh muka dan tapak tanganku. Lalu dia menghulurkan tangan tanda perpisahan. Aku teragak-agak untuk menerima salam itu. Terasa kekok juga kerana aku jarang berjabat tangan dengan perempuan lain selain ibu dan kakakku. Namun akhirnya aku mengalah juga. Aku sambut tangannya yang lembut lalu kucium tangannya.
"Romantik lah awak ni" gadis itu tersipu malu.

"Eh, awak kan dah tua, kenalah cium tangan" kataku sambil tersenyum.
"Haha, betul juga.." gadis itu membalas. Lalu terus berjalan menuju ke bas. Sebelum menaiki tangga bas, gadis itu berhenti seketika dan memandang aku. Lalu diangkat tangannya, "Bye, awak. Kalau ada rezeki kita jumpa lagi" gadis itu berkata. "InsyaAllah", jawabku lalu terus berlalu pergi. Tidak sanggup untuk aku melambai pemergiannya. Kedengaran dari belakang, deruan enjin bas berlalu pergi. Aku tertunduk. Sayu. Terasa seperti kehilangan sesuatu yang berharga.

Petang itu aku naik feri lebih kurang pukul 7.00 malam dan tiba di rumah kakakku sejam kemudian. Malam itu terasa bosan sekali. Internet lambat tidak ketahuan punca. Nak baca komik pun, semuanya sudah dikhatam. Fuhhhhh.. aku menarik nafas panjang. Bosan.

Jam 12.00 malam. Berita Nightline di TV3, mengimbas berita pada jam 8.00 malam sebentar tadi. Aku tonton sahaja tanpa perasaan. Tiba-tiba mataku terpaku pada newsline di bahagian bawah kaca tv. Sebuah bas Rapid Penang telah terbabit dalam kemalangan ngeri. Nombor bas itu sama dengan nombor bas yang gadis itu naiki petang tadi. Previu menunjukkan keadaan bas itu yang terbalik dan terbakar. Semua penumpang termasuk pemandu bas rentung terbakar. Tiada siapa yang terselamat.

Luruh jantung aku. Terkebil-kebil aku membacanya berulang-ulang kali. Tak mungkin. Tak mungkin. Ya Allah, ampunkan dosa mereka itu. Sungguh aku tidak sangka pertemuan singkat ku dengan dia akan menjadi pertemuan yang pertama dan terakhir. Jika benarlah itu bas yang dia naiki, aku doakan agar rohnya dicucuri rahmat serta diampunkan dosa-dosanya yang lampau. Al-Fatihah.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Aku mengangkat dengan segera.

"Hello" aku memulakan bicara.
"Awak nampak berita tadi?" kedengaran satu suara yang seperti ku kenal.
"Berita kemalangan bas tu?" aku bertanya.
"Ya" dia menjawab ringkas.
"Nampak, kenapa?" aku bertanya lagi.
"Itulah bas yang saya naik" dia menjawab.
Aku terdiam.

"Awak ni.. Ayu?" aku bertanya untuk kepastian.

"Ya, saya Ayu" suara itu mengiakan.

Aku menelan air liur. Mana mungkin, aku lihat sendiri berita mengatakan tiada penumpang yang selamat. Tidak mungkin gadis itu menelefonku. Mustahil. Mustahil. Suasana tegang seketika. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Gadis itu juga tidak mengeluarkan suara.

"Awak.. dah mati" aku beranikan diri juga. Tiada jawapan kedengaran dari sana.

"Kah! Kah Kah!" gadis itu tertawa kuat. Aku terpinga-pinga. Apa yang terjadi?

"Kelakarlah awak, saya dah turun dari bas lah masa tu" katanya menahan ketawa. Aku merasa lega mendengarkan jawapan itu. Menakutkan aku saja tadi.

"Eh, tapi mana awak dapat nombor telefon saya? Saya tak bagi kat awak pon" aku bertanya kehairanan.

"Waktu awak tidur dalam bas tu, saya sempat ambil nombor awak dari telefon awak. Yalah, in case of emergency, saya minta tolong awak saja kan, manalah tahu, untuk backup saja. Jangan marah" gadis itu menjawab.

"Oh begitu, saya ni memang lembab lah.. haha.. yalah Kak Ayu, kakak sajalah yang tak lembab" aku ketawa. Kali ini aku membahasakan dirinya sebagai kakak pula. Tidak salah kan, lagipun jarak antara umur kami sangat jauh, 7 tahun.

"Memang sangat lembab pon" gadis itu berkata dengan nada mendatar.

"Maksud kakak?" aku bertanya selamba.

"Saya bukan 25 tahunlah, saya sama umur dengan awak. Dan saya juga tidak bekerja kerana saya masih belajar di Kolej Matrikulasi Pahang, sama matrikulasi dengan awak. Tambahan lagi, saya jugak satu kuliah dengan awak, kalau awak nak tahu." gadis itu bercakap dengan laju tanpa henti.


Aku terkebil-kebil.

"Biar betul" aku bisik perlahan.

"Itulah, lain kali jangan kerap ponteng kuliah, rakan sekuliah sendiri pon tak kenal!" gadis itu mencebik. Kami ketawa bersama.

No comments:

Post a Comment