Sunday, August 18, 2013

Paradoks (Bahagian 1)

"Kau tu memang dasar bodoh! Menghabiskan duit aku hantar kau belajar. Selagi kau tak ubah sikap pemalas kau tu, kau jangan balik rumah!"

"Aku taknak tengok muka kau lagi!"

Talian terputus. Ayahku menghempas gagang telefon.

Aku mendiamkan diri. Perlahan-lahan aku meletakkan telefon bimbitku di atas meja. Kali ini sudah dua kali aku gagal dalam subjek yang sama. Aku sudah menjangkakan ayahku akan mengamuk seperti ini, namun aku tidak boleh merahsiakan berita kegagalanku dalam pelajaran, lambat laun dia akan tahu juga. Oleh itu, aku telah membuat keputusan untuk memberitahunya dengan lebih awal, sekurang-kurangnya aku berani bertanggungjawab atas kesalahan sendiri.

Aku menghela nafas dengan hampa.

Tidak dinafikan, dulu memang aku seorang pelajar yang pandai. UPSR, PMR, SPM, semuanya aku lulus dengan cemerlang. Sejak itu, ibu bapaku sangat bangga dengan diriku. Lebih-lebih lagi, aku anak tunggal mereka, maka harapan mereka terhadapku sangat tinggi. Namun lama-kelamaan, aku berubah. Sejak mula pandai bergaul dengan kawan-kawan di universiti, aku semakin mengabaikan pelajaran. Tetapi, aku tidak pernah salahkan kawan-kawanku atas kemerosotan pelajaranku, bahkan merekalah yang paling banyak membantuku ketika susah, serta mencorakkan hidupku di peringkat remaja.

Hendak dikatakan 'kejutan budaya', tidak juga... Aku pernah juga hidup bebas bergaul dengan kawan-kawan ketika di asrama dulu. Tambahan pula, keputusan pelajaranku di asrama juga memberangsangkan, oleh itu aku percaya kehidupan sosial bukanlah punca utama kegagalanku di universiti.

"Kau tu banyak sangat main, sebab tu pelajaran kau merosot"

"Eh dulu waktu first year, awak boleh je dapat 4 flat, apasal sekarang jatuh?"

"Hang banyak awek sangat kot, sebab tu tak boleh score.. haha"

"Rileks la bro... aku pointer bawah 3 dari dulu, steady je"

Kata-kata mereka masih terngiang-ngiang dalam kepalaku. Tiada siapa yang tahu mengapa perubahan dalam diriku ini berlaku secara mendadak.

Hanya aku seorang sahaja yang tahu jawapannya. Dan aku tidak pernah memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa. Bahkan Saiful, rakan karibku sejak kecil sendiri pun tidak pernah tahu.

Antara aku dan Saiful, tidak pernah ada rahsia. Setiap masalah kami akan dikongsi bersama. Pernah suatu ketika dia menyukai seorang gadis. Dalam masa yang sama, aku juga menaruh perasaan cinta terhadap gadis itu. Tapi aku berterus-terang sahaja kepada Saiful,

"Kalau kau nak tahu, aku pun pernah sukakan dia" kataku kepada Saiful ketika sedang lepak-lepak minum di kedai mamak.

"Alah, macam lah aku tak tahu. Taste kita kan sama", balas Saiful sambil menyalakan rokoknya.

Aku ketawa kecil. Begitu  juga dengan Saiful.

"Tapi itu dulu lah", tiba-tiba aku bersuara setelah beberapa minit aku mendiamkan diri.

"Sekarang tidak lagi", sambungku lagi.

Saiful menghirup teh tariknya dengan perlahan.

"Kenapa?", soal Saiful. Nadanya serius, dan renungannya tajam, dipenuhi perasaan ingin tahu.

"Aku sudah jumpa orang baru", aku membalas dengan senyuman nipis.

Aku berbohong.

Sebenarnya, aku tahu. Walaupun aku tidak pernah mencuba, tetapi Nadia memang tidak pernah menaruh sebarang perasaan terhadapku. Aku hanya kawan biasa baginya. Oleh itu, lebih baik aku mengundur diri dan memberi laluan kepada Saiful. Sekurang-kurangnya mereka berdua akan lebih bahagia bersama. Dan aku juga yakin, mereka berdua memang mempunyai takdir untuk bersama. Hanya masa yang akan menentukan.

Tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada mesej dari Saiful,

"Bro, kat mana? Jom lepak minum, kat tempat biasa. Ada hal sikit nak sembang"

"Ok, 5 minit", balasku ringkas.

Aku mencapai tualaku lalu bergegas untuk mandi. Setelah selesai mandi dan bersiap, aku mencapai kunci motorku yang tergantung di dinding. Aku menghidupkan enjin motor, lantas memecut ke kedai mamak yang selalu kami lepak setiap kali ada hal untuk dibincangkan. Setibanya di tempat yang dimaksudkan, aku lihat Saiful sudah berada di situ. Air teh tarik kegemarannya juga sudah separuh diminum.

"Dah lama sampai?", soalku sambil membuka topi keledar, lalu diletakkan di atas kerusi berdekatan.

"Agak la. 5 minit kau tu dah macam setengah jam", kata Saiful dengan sinis.

Aku senyum sahaja.

"Ane, mau minum apa?", tegur seorang mamak sambil mengelap meja kami.

"Kopi O suam, kurang manis", balasku.

Aku mencapai kotak rokokku dari dalam poket.

"Lighter", aku berkata.

Saiful menolak pemetik apinya dengan perlahan.

Sambil mencucuh rokok, aku bertanya,

"Ada hal apa nak bincang?"

Saiful meniupkan beberapa kepulan asap dari mulutnya lalu bersuara,

"Mak kau mesej aku tadi, dia cakap ayah kau marah betul dengan result kau".

Aku diam seketika.

"Kau fail lagi?", Saiful menambah.

Aku mengangguk sahaja, sambil mataku meliar ke sekeliling kedai.

"Apsal ni bro.. ada masalah, cerita ngan aku. Macam tak biasa plak", kata Saiful lagi.

"Masalah? Aku ok je la.. haha", balasku separuh ketawa.

"Takpe la, taknak cerita sekarang pun takpe.. Nanti kau dah ready, kau bagitau la", kata Saiful sambil menguyah kentang goreng yang sudah sekian lama terhidang.

Aku diam sahaja. Malam itu, agak lama juga kami bersembang, tetapi tidak satu pun topik perbualan kami menyentuh tentang isu tersebut. Saiful tahu ada sesuatu yang bermain di fikiranku tetapi dia memberikan masa supaya aku betul-betul bersedia untuk memberitahunya secara ikhlas, sebagai seorang sahabat.

Malam itu aku tidak dapat tidur dengan lena. Sekejap mengiring ke kiri, sekejap ke kanan. Sekali-sekala aku melentang sambil meletakkan tangan di atas dahi. Ada sesuatu yang bermain di fikiranku.

"Nanti kau dah ready, kau bagitau la"

Kata-kata Saiful masih bergema dalam kepalaku.

"Dah tibakah masa untuk aku berterus-terang? Adakah mereka akan percaya dengan kata-kataku? Atau mungkin mereka akan menganggap aku gila?"

Aku bermonolog sendirian.

Aku mencuba untuk melelapkan mata. Namun, ada sesuatu yang menyekat keinginanku. Aku bimbang mimpi yang sama akan berulang.

Mimpi yang telah sekian lama menghantui hidupku. Setiap kali terbayangkan mimpi-mimpi itu, badanku seram sejuk dan tubuhku akan menggeletar.

Bukan sahaja ketika tidur, bahkan kadang kala jika aku melelapkan mata beberapa minit sahaja, imbasan itu akan berlaku.

Sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Mimpi yang sama berulang!

(Tamat Bahagian 1)

No comments:

Post a Comment