Sunday, August 18, 2013

Memang Cinta Itu Rumit

"Kenapa dengan awak ni? Tak sihat ke?", satu suara menyapaku. Aku menoleh dengan spontan. Seorang lelaki sebaya aku berdiri terpacak di belakangku. Dia tersenyum. Aku membalas senyumannya itu.

"Sakit perut", aku berkata perlahan sambil mengusap perutku, "Gastrik agaknya".

"Oh, dah makan ubat?", soalnya lagi. Aku menggelengkan kepala. "Nah, makan ubat ni", katanya sambil menghulurkan pil 'chi kit tek aun'. 

"Eh tak apalah, saya boleh minta ubat dengan cikgu saya. Tak perlu susah-susah. Lagipun kita baru kenal saja kan", aku menolak dengan baik. Risau juga aku sebab kami berdua baru sahaja berkenalan. Tambahan pula dia lelaki, aku perempuan, entah ubat apa pula yang diberinya itu. Lebih baik aku mengambil jalan selamat.

"Err.. sebenarnya ni bukan ubat saya. Cikgu awak yang minta tolong saya beri ubat ni kepada awak. Dia tahu awak sakit perut", kata lelaki itu sambil menggaru kepala.

"Oh.. Maaf. Saya tak berniat nak kata macam tu", aku menjadi serba salah. Menyesal pula aku berkata begitu tadi. Aku mengambil pil itu lalu mengucapkan terima kasih. Lelaki itu tersenyum lalu terus berlalu pergi.

Itulah kali pertama aku berjumpa dengan Aris. Waktu itu kami menyertai suatu kem perkhemahan di Perak. Perkhemahan itu disertai oleh 10 buah sekolah di sekitar utara tanah air, termasuk sekolah aku dan juga sekolah Aris. Dari pertemuan sebentar tadi juga, kami mula menjadi kawan.

Tidak kira waktu ceramah, waktu makan, atau waktu riadah, kami sentiasa bersembang. Bermacam-macam topik yang kami bincangkan, dari sekecil-kecil hal, sehinggalah sebesar-besar perkara.  Aku berasa senang bersembang dengannya kerana dia gemar berjenaka. Ketika hari terakhir perkhemahan, kami sempat bertukar nombor telefon. Kata Aris, dia ingin kenal aku dengan lebih rapat lagi. Aku senyum sahaja. Bagi aku itu sudah menjadi perkara biasa.

Sejak itu kami kerap berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Aris sering mengambil berat serta ingin ambil tahu tentang segala aktiviti yang aku lakukan. Pada mulanya aku berasa rimas juga. Tapi lama-kelamaan, aku sudah biasa, sehinggakan aku ternanti-nanti SMS darinya setiap kali bangun dari tidur.

Suatu hari entah kenapa aku berasa SMS darinya berlainan dari biasa. Bait katanya lebih puitis dan romantis. Lenggok bahasanya juga berbeza dengan hari sebelumnya. Aku tidak tahu bagaimana untuk membalas, maklumlah aku belajar aliran sains, manalah aku tahu sangat ayat-ayat sastera macam ni. Tanpa diduga, Aris telah meluahkan perasaannya kepadaku. Aku tergamam seketika. 

Aku tidak menyangka pertemuan kami yang tidak sampai beberapa bulan itu mampu melahirkan rasa kasih dalam hatinya terhadapku. Nampaknya orang lelaki memang cepat benar jatuh cinta. Murah benar ya harga cinta sebegini. Aku buntu. Aku tidak mempunyai perasaan terhadapnya, tidak lebih dari sebagai seorang kawan sahaja. Lagipun aku tidak mahu memberikannya harapan dengan terburu-buru, bimbang dia akan kecewa di kemudian hari. 

Aku meminta maaf kepadanya, lalu aku tolak dengan sopan. Aku katakan bahawa aku hanya menganggapnya sebagai seorang kawan sahaja. Aris menerima keputusanku dengan redha. Lama juga kami tidak berhubung antara satu sama lain. Mungkin Aris malu dengan aku agaknya. Tidak mengapalah, aku teruskan hidupku seperti biasa.

Beberapa bulan kemudian, Aris menghubungiku. Suaranya kedengaran seperti gembira sekali. Dia kata dia sudah menemui perempuan lain. Katanya dia terpikat dengan kecantikan perempuan itu, lalu meluahkan perasaan terhadapnya. Perempuan itu juga telah menerima cintanya dengan hati yang terbuka. Perempuan yang dimaksudkan itu juga merupakan kenalanku ketika di perkhemahan dahulu. Perempuan itu bukanlah berasal dari sekolahku, tetapi kami telah ditempatkan dalam kumpulan yang sama ketika perkhemahan tersebut. Haliza namanya. Maka bermulalah bibit percintaan antara Aris dan Haliza.

Walaupun Aris sudah mempunyai teman istimewa, dia tetap tidak melupakan aku sebagai kawannya. Selalu juga dia menghubungiku ketika waktu terluang. Kami bersembang dan bergurau seperti biasa. Kadang kala, kami berkongsi masalah peribadi. Waktu aku berduka dan perlukan teman berbual, aku akan menghubunginya. Dan jika dia mempunyai masalah, dia juga akan menghubungiku untuk meminta pendapat. Hatta, setiap kali berlaku krisis dalam hubungannya dengan Haliza sekalipun, akulah orang pertama yang akan dihubunginya. 

Ketika itu entah kenapa aku rasakan ada suatu perasaan aneh dalam hatiku terhadap Aris. Nak dikatakan perasaan cinta, tak juga. Tak mungkin. Kerana aku juga pernah bercinta dahulu. Aku tahu nak bezakan sama ada ianya perasaan cinta ataupun tidak. Mungkin perasaan yang aku maksudkan itu adalah perasaan kagum yang tinggi. Ya, aku kagum dengan sikap Aris yang bersungguh-sungguh mahu mendapatkan sesuatu. 

Sebenarnya, aku tahu bagaimana Aris boleh berkenalan dengan Haliza. Ketika di perkhemahan dahulu, Aris memang sudah beria-ia meminati si Haliza, tetapi dia takut-takut untuk berkenalan dengan Haliza kerana Haliza ramai peminat. Yalah, lelaki mana yang tak suka pada Haliza. Kulitnya putih gebu, wajahnya manis, tutur katanya sopan, dan senyumannya juga menawan. Oleh sebab tidak berani untuk berkenalan dengan Haliza, Aris memilih aku pula. Mungkin dari kaca matanya, aku lebih mudah didekati.

Tentang perkara tadi, sebenarnya akulah yang memberi nombor telefon Haliza kepada Aris. Kasihan aku lihat Aris bersungguh-sungguh ingin mendapatkan nombornya tetapi tidak pernah berjaya. Aku faham situasi Aris. Dia inginkan teman untuk bermesra. Mungkin dia cemburu melihat rakan-rakannya bahagia mempunyai teman wanita, jadi dia ingin menjadi seperti mereka. Tidak sangka pula, lepas dapat nombor telefon, entah macam mana si Aris mengatur ayat, terpikat juga Haliza kepadanya. Itulah cinta, tidak mengenal harta, pangkat, dan rupa. Asalkan bibir manis menyusun kata, hati terima dengan terbuka. Yang penting ikhlas, bukan nafsu semata-mata.

Berbalik kepada cerita asal, Aris tidak pernah mengabaikan aku sebagai seorang kawan, walaupun dia sudah berteman dengan Haliza. Itulah yang membuatku kagum dengannya. Kebiasaannya kamu lelaki mempunyai satu sikap yang sama, 'Habis madu sepah dibuang'. Tetapi Aris bukan begitu. Kadangkala, jika waktu cuti persekolahan, jika Haliza izinkan, dia akan keluar bersamaku untuk bersiar di pekan. Katanya dia rindukan aku. Kami berjalan-jalan, berkaraoke. bermain boling, dan sebagainya. Aris juga pernah memuji aku, katanya  aku berbakat dalam bidang nyanyian kerana suaraku merdu dan sedap didengar. Aku ketawa kecil sahaja mendengar pujian itu. Semenjak itu juga, dia sering memintaku menyanyikan sebuah lagu untuknya ketika kami berbual melalui telefon. Suka benar dia dengan suara nyanyianku.

Mulai saat itu juga, aku menyedari bahawa perasaan kagumku terhadap Aris lama-kelamaan bertukar menjadi sayang. Aku membenci diriku kerana berperasaan sedemikian. Mana tidaknya, Aris kini menjadi kepunyaan orang lain, tidak elok untukku merosakkan hubungan mereka berdua. Itulah, dulu aku jual mahal dengan Aris, sekarang Aris sudah menjadi milik Haliza, aku terkial-kial seorang diri. Namun walau sekuat manapun perasaanku terhadap Aris, tidak dapat menandingi kekuatan cinta Aris terhadap Haliza. 

Cinta Aris terhadap Haliza tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi buah hatinya itu. Sesiapa pun tidak dibenarkan menyentuh atau menyakiti Haliza. Jika Aris dapat tahu, riuh satu negeri dibuatnya. Jika keluar bersama, semua perbelanjaan akan ditanggung Aris sendiri. Dia tidak mahu Haliza mengeluarkan satu sen pun dari poketnya. Pernah juga, Aris sanggup membayar tambang teksi sebanyak hampir RM50 semata-mata mahu memulangkan sapu tangan Haliza yang tertinggal.  Itulah antara faktor yang membuatkan aku kagum dengan Aris. Komitmennya terhadap cinta sangat tinggi. 

Namun, langit tak selalu cerah, hidup tak sentiasa indah. Hubungan Aris dan Haliza tiba-tiba sahaja bergolak. Terkejut juga aku mendengar berita tersebut ketika itu. Rupa-rupanya Haliza rimas dengan sikap Aris yang cemburu buta. Sehinggakan hendak bercakap dengan kawan lelaki sekelas pun tidak boleh. Yalah, aku faham situasi Aris. Dia merasakan rupa paras dirinya tidak setanding dengan kecantikan Haliza, sebab itulah dia cepat cemburu jika melihat Haliza berhubung dengan lelaki lain. 

Mei 2006 merupakan kemuncak krisis hubungan mereka. Haliza tidak tahan dengan perangai Aris yang cemburu buta. Mereka bertengkar dan Haliza memutuskan hubungan mereka. Aris kecewa sepenuh hati. Hatinya hancur luluh, pecah berderai. Dua hari juga dia enggan makan, enggan minum. Antara mangsa yang perlu memujuk hatinya, akulah. Aku memberi kata semangat kepadanya, lama-kelamaan keadaan Aris semakin tenang. Dia mampu menerima kenyataan bahawa hati Haliza bukanlah miliknya lagi. Namun, dia tidak dapat mengikis perasaan cintanya terhadap Haliza. Walau sekuat manapun rajuknya, perasaan cinta itu masih ada.

April 2008. Dua tahun sudah berlalu. TIba-tiba sahaja Aris menghubungiku. Dia kata dia inginkan teman. Aku katakan kepadanya, bukankah aku sentiasa menjadi temannya sejak awal lagi? Dia berkata, dia inginkan teman hidup yang baru. Dia kesunyian tanpa cinta dan kasih sayang. Dia perlukan belaian. Dia mahu aku menjadi kekasihnya. Berbunga juga hatiku ketika itu. Jika awal-awal dahulu, aku menolak 'lamaran'nya kerana aku tiada perasaan, kini aku sudah mempunyai rasa sayang terhadapnya. Aku bersedia untuk bercinta dengannya. Aku ingin membantu Aris melupakan Haliza. Aku rela. Namun ada sesuatu yang bermain di fikiranku.

"Aris...", aku bersuara, "...saya boleh terima cinta awak. Saya sudah bersedia, tapi..."

"Tapi apa?" soal Aris. Aku diam seketika. Aku menarik nafas beberapa kali, lalu berkata,

"Jika ditakdirkan kita bersama dan bahagia. Dan ketika itu tiba-tiba Haliza muncul semula untuk awak, siapa yang akan awak pilih? Saya atau Haliza?" soalku dengan terketar-ketar.

Aris terdiam. Dia tidak mampu menjawab soalan itu. Aku turut menjadi serba salah. Tiba-tiba terdengar suaranya menjawab perlahan,

"Haliza"

Lemah jantungku ketika itu. Tidak pernah aku dilukai sedemikian rupa. Tanpa disedari air mataku menitis. Aku tertanya-tanya, siapa sebenarnya aku kepadanya? Adakah aku hanya teman bermain, tempat menghilangkan kebosanan, ataupun hanya kaunter meluahkan perasaan?

"Cukuplah..", aku bersuara selepas mengesat air mata.

"Cukuplah awak bermain dengan cinta, Aris. Apa yang awak maksudkan, awak ingin pilih Haliza juga sedangkan ketika itu kita sedang bahagia? Awak fikir saya siapa?" aku tersedu-sedu menahan suara.

"Awak ingin sakiti saya sepertimana Haliza sakiti perasaan awak dahulu? Awak ingin sakiti orang lain supaya mereka dapat merasai kepedihan yang pernah awak lalui? Maaf, saya bukan plastik pakai buang. Saya ingin mencari kebahagiaan" aku menambah lagi.

Aris diam seribu bahasa. Dia terkedu. Aku juga terdiam seketika. Aku menangis lagi, sebak di dadaku bagaikan meronta-meronta ingin dibebaskan. Aku memutuskan talian. Itulah kali terakhir aku mendengar khabar darinya. Aku menukar nombor telefonku pada hari itu juga.

November 2010. Aku sudah dapat melupakan Aris. Aku kini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam di selatan tanah air. Jarang sekali aku pulang ke kampung, kerana waktu cutiku dihabiskan dengan bekerja separuh masa di sana. Aku ingin menimba pengalaman bekerja supaya senang hidupku selepas bergelar graduan nanti. Tinggal hanya satu semester sahaja lagi untuk menamatkan pengajian. Selepas itu aku akan melangkah ke alam dewasa. Aku ingin bekerja, mencari pasangan hidup dan berkahwin. Itulah saat yang paling aku idamkan sejak aku kecil. Aku ingin mencari kebahagiaan.

31 Disember 2010, tepat jam 12.00 tengah malam. Aku mendapat pesanan ringkas SMS dari nombor yang tidak dikenali.

"Selamat Hari Lahir, Ika. Semoga panjang umur dan ditemukan kebahagiaan"

Aku senyum sahaja. "Terima kasih, daripada siapa ini?" aku membalas SMS itu.

"Daripada Aris dan isteri, Haliza".

Aku tergamam.

"Memang jodoh kamu berdua rupanya. Aku ingatkan kau hanya bermain dengan cinta", kataku di dalam hati.

"Tahniah atas perkahwinan. Kirim salam saya kepada Haliza", aku membalas SMS itu.

Aku menarik nafas panjang-panjang. 

"Aduh, Aris, Aris...," aku berkata separuh berbisik, "Memang cinta itu rumit!".

No comments:

Post a Comment