Sunday, August 18, 2013

Puduraya

Seorang lelaki kelihatan keluh-kesah di Terminal Bas Puduraya. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Sesekali dia melihat jam di tangan. Lelaki itu baru sahaja tiba di situ setelah menaiki bas dari Kuantan, Pahang. Rupa-rupanya, duit yang digunakan untuk membeli tiket bas Kuantan-Kuala Lumpur tadi merupakan duit yang terakhir dalam poketnya. Yang tinggal hanyalah saki-baki duit syiling berjumlah 40 sen. Perut pun asyik berbunyi. Dari pagi tak makan.

Sepatutnya malam itu dia harus pulang ke kampungnya di Kedah. Tetapi duit dalam poket hanya cukup untuk naik bas dari Kuantan ke KL sahaja. Jadi dia membuat keputusan untuk pergi ke rumah rakannnya di Sungai Buloh. Sungguhpun begitu, dia tetap kekurangan duit untuk pergi ke rumah rakannya itu. Ditatapnya handphone Sony Ericsson kesayangannya. Kredit handphonenya hanya tinggal beberapa sen sahaja. Bateri pon dah berkelip-kelip. Tunggu masa saja nak padam.

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Lelaki itu buntu. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia minta sedekah di situ. Dapat sikit pon jadilah, boleh buat topup telefon bimbitnya. Sekurang-kurangnya dapat telefon kakaknya untuk datang ambil dia di situ. Tiba-tiba lelaki itu didatangi seorang pakcik, umur lebih kurang 50 tahun.

"Assalamualaikum, dik"

Lelaki itu menoleh. Dilihatnya seorang pakcik yang sangat kurus dan berwajah muram. Bajunya kotor sana-sini. 

"Dik, boleh tolong saya?" soal pakcik itu.

"Tolong? Tolong apa pakcik?"

"Adik ada duit? Boleh bagi saya sikit? Saya dari siang tak makan lagi.."

"Sori pakcik, saya memang tak ada duit" kata lelaki itu dengan jujur.

"Tolonglah saya. Saya lapar" pakcik itu merayu.

"Saya pon minta maaf sangat-sangat pakcik"

Pakcik itu muram. Timbul rasa kasihan dalam hati lelaki itu.

"Pakcik dari mana ni?"

"Saya baru keluar penjara. Tak makan lagi ni. Saya tak ada hala tuju.."

Lelaki itu bertambah sayu. Dia menyeluk poket seluarnya untuk mengambil syiling 40sen terakhirnya itu. Hanya itu yang dia mampu berikan kepada pakcik itu.

Lelaki itu menyeluk poketnya dalam-dalam, mana tahu ada lagi lebihan beberapa puluh sen untuk dihulurkan kepada pakcik itu. Tiba-tiba jarinya tersentuh satu kertas.

Setelah dikeluarkan, rupanya objek yang disangkakan kertas itu adalah wang bernilai RM5. 

"Eh mana datang duit RM5 ni? Tadi takda pon" fikir lelaki itu.

"Ermm, macam ni la pakcik. Jom kita pegi minum kat kedai mamak depan tu. Saya ada RM5 ja. Kita minum-minum sambil cerita" kata lelaki itu. Pakcik itu bersetuju. Terpancar cahaya kegirangan di muka pakcik itu.

"Terima kasih, dik. Biar pakcik tolong bawakan beg adik. Nampak macam berat."

"Ok" balas lelaki itu walaupun pada mulanya dia keberatan untuk berbuat demikian kerana bimbang pakcik itu menipu dan cuba untuk membawa lari begnya.

Tiba di kedai mamak, lelaki itu terfikir. Wang RM5 tidak cukup untuk makan minum dua orang. Jadi lelaki itu membuat keputusan untuk tidak makan. Dia hanya memesan air sahaja.

"Pakcik nak makan apa, roti canai nak?" lelaki itu berkata.

"Adik makan tak?" 

"Pakcik makan la, saya tak lapar"

"Kalau adik tak makan, pakcik pon tak mau makan la.." kata pakcik itu lalu memesan air sahaja.

Ketika minum-minum, pakcik itu menceritakan masalahnya. Pakcik itu sebenarnya bekas banduan. Dia baru sahaja dibebaskan minggu lalu setelah dihukum penjara akibat kesalahan merompak 20 tahun lalu. Pakcik itu baru sahaja tiba di KL untuk mencari kerja. Malangnya dompetnya telah dicuri.

Lelaki itu terkebil-kebil mendengar cerita pakcik itu. Mana taknya. Di hadapannya kini adalah bekas banduan yang pernah menjadi buruan polis 20 tahun dahulu.

"Jangan takut. Pakcik dah insaf" kata pakcik itu.

"Pakcik juga tak tipu adik. Kalau tak percaya pakcik, adik tengok surat ni" tambah pakcik itu lagi sambil menghulurkan surat laporan polis yang mengesahkan bahawa dia baru keluar dari penjara.

"Pakcik dah taktau nak buat apa sekarang. Pakcik orang Penang. Keluarga pon dekat sana. Tapi sorang pon dah takmau terima pakcik sekarang. Pakcik balik rumah, depa halau pakcik. Pakcik bagitau pakcik dah insaf, tapi depa masih bencikan pakcik atas kesalahan pakcik dulu. Pakcik mai KL pon nak cari kerja. Pakcik tau takdak sapa mau terima bekas banduan macam pakcik ni, tapi pakcik kena cuba juga. Tiba-tiba bila sampai sini, jadi camni pulak. Pakcik memang tak ada duit lgsg sekarang. IC pakcik pon dalam dompet tu. Pakcik buntu dah. Dari tadi pakcik minta tolong orang ramai, semua layan pakcik macam sampah. Ada juga yang nak tumbuk pakcik tadi. Hina sangat ka bekas banduan macam pakcik ni. Tiba-tiba pakcik jumpa adik. Adik sorang ja yang sanggup dengar masalah pakcik. . . Kita sama-sama orang Melayu. Harap adik boleh tolong pakcik. Adik tolong pakcik sekarang, suatu hari nanti tuhan akan tolong adik pula"

Lelaki itu sangat sedih mendengar masalah pakcik itu. Namun tiada apa yang mampu dia tolong.

"Apa sangat yang saya boleh buat pakcik..saya tak mampu"

Pakcik itu muram lagi. 

"Pakcik dah tak tahan dah duduk sini lama-lama. Pakcik rindu keluarga pakcik.." kata pakcik itu menahan air mata.

"Kalau adik mampu tolong, bantulah pakcik untuk balik Penang..Pakcik nak balik jumpa anak-anak kat sana. Pakcik nak sujud kat kaki depa, minta ampun kat depa.." tambah pakcik itu lagi.

Lelaki itu menjadi serba salah. Dia memang nak tolong, tapi tak ada duit.

"Macam ni la pakcik, saya memang tak dapat tolong. Pakcik cari orang lain boleh? Saya minta maaf sangat-sangat" lelaki itu berkata perlahan-lahan.

Pakcik itu tunduk sahaja.

"Orang lain yang mana? Depa semua anggap pakcik sampah..Tak ada orang percaya cerita pakcik. Depa kata pakcik penipu. Depa kata pakcik ni penagih dadah yang buat-buat cerita untuk dapat duit saja."

Lelaki itu terdiam. 5 minit mereka tidak bersuara. Masing-masing memikirkan masalah masing-masing.

Tiba-tiba lelaki itu bangun. "Saya pi kedai hujung tu sat pakcik. Pakcik jaga beg saya sat ok. Saya pi tak lama. 10 minit saja."

20 minit berlalu..

Lelaki itu kembali ke kedai mamak itu.

"Lamanya adik hilang. Pakcik ingat adik lari tinggai pakcik, tapi pelik juga sebab beg adik tinggai kat sini.." kata pakcik itu.

"Nah pakcik.." kata lelaki itu sambil menghulurkan sesuatu.

Pakcik itu terketar-ketar menerima pemberian lelaki itu. Dilihatnya pemberian itu adalah sejumlah wang, RM40.

"Mana adik dapat duit ni? Tadi adik kata tak ada duit.." soal pakcik itu kehairanan.

"Tak pa, pakcik.. amik saja.."

"Tapi banyak sangat ni RM40. Tiket balik Penang 20 ringgit lebih ja.." kata pakcik itu lagi.

"Pakcik beli tiket balik Penang dulu, yang lebih tu pakcik buat makan. Kesian pakcik tak makan lagi."

Hampir menangis pakcik itu dibuatnya. "Terima kasih sangat-sangat adik. Pakcik taktau nak kata apa.."

"Pakcik pi beli tiket cepat, nanti lewat malam dah tak ada bas" kata lelaki itu. Lalu selepas berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih yang tak terhingga, pakcik itu bergegas ke kaunter tiket.

Namun beberapa saat kemudian, pakcik itu berpatah balik. Dia menghampiri lelaki itu dan memegang bahunya.

"Hari ini adik tolong pakcik. Satu hari nanti Allah akan tolong adik" kata pakcik itu lalu terus beredar dari situ. 

Sementara itu, si lelaki itu hanya tersenyum sahaja. Saat kelibat pakcik itu hilang dari pandangan, lelaki itu pergi ke kaunter membayar harga minuman mereka tadi. Setelah itu, dia mengangkat begnya lalu beredar. 

Lelaki itu berjalan kaki seorang diri. Dia menyeluk poketnya yang kosong. Mana pergi telefon bimbit Sony Ericsson kesayangannya?

Terjatuh? Tertinggal di kedai mamak? Atau pakcik tadi senyap-senyap menyeluk poketnya??

Kesemua tanggapan di atas salah belaka. Sebenarnya ketika lelaki itu menghilangkan diri selama 20 minit tadi, dia telah berlari mencari kedai telefon yang terdekat. Dia telah menjual telefon bimbit Sony Ericsson kesayangannya itu untuk mendapatkan duit bagi membantu pakcik tersebut. 

Tetapi bagus juga sebab dengan baki duit hasil gadaian telefon bimbitnya itu, dia dapat membayar tambang untuk pergi ke rumah rakannnya di Sungai Buloh.

No comments:

Post a Comment