Sunday, August 18, 2013

Fobia

“Entahlah. Aku dah takda nafsu kat orang perempuan”, kata Pak Tam selamba. Tangannya masih memegang cawan kopi. Sudah 5 minit cawan itu diangkat, namun kopinya langsung tidak diminum. Mata Pak Tam merenung kosong ke arah ladang getahnya. Wajahnya kelihatan suram. Sayu dibelenggu kesunyian. 

Aku terdiam, tidak tahu bagaimana untuk memberi respon dalam keadaan begitu. Aku menjadi serba salah. Salah aku juga kerana bertanya dia soal perkahwinan. Pak Tam orangnya periang dan suka berjenaka. Manalah aku tahu bila aku sentuh soal perkahwinan dia akan menjadi sebegini serius. 

“Sori lah Pak Tam, saya tak berniat nak sentuh isu sensitif macam ni”, kataku perlahan sambil tanganku mencapai cempedak goreng di pinggan. 

Sudah menjadi kebiasaan, petang-petang begini aku dan Pak Tam akan duduk bersembang di bangsal buruk dalam ladang getah ini. Selalunya sepupuku, Mamat ada sekali, tetapi hari ini dia pergi ke pekan membeli barang dapur bersama isterinya. Jadi tinggal kami berdua sahaja. 

“Macam mana boleh jadi macam tu?”, aku bertanya sambil mengunyah sisa-sisa cempedak goreng dalam mulutku.

“Apa yang jadi macam tu?”, Pak Tam mengerutkan dahinya, memandang aku dengan kehairanan. 

“Pak Tam lah. Macam mana boleh jadi gay?”, aku menyambung lagi. 

“Gay kepala hotak hang!”, Pak Tam melenting, lantas beberapa butir biji cempedak singgah di dahi aku. Aku ketawa sambil menepis-nepis biji cempedak itu. Pak Tam ketawa sebentar, kemudian wajahnya kembali muram. Kami berdua diam seketika. 

“Aku fobia..”, Pak Tam tiba-tiba bersuara,“Aku ni dah banyak kali kena tipu dengan perempuan”. 

“Pengalaman pertama aku bercinta, dengan seorang perempuan bernama Sarah...”, Pak Tam memulakan ceritanya: 


Sarah 

Ketika itu umurku 23 tahun. Aku dan Sarah bertemu buat pertama kalinya di rumah bapa saudaraku di pekan. Ketika itu Sarah mengikut Hani (sepupuku) pulang beraya ke rumah mereka. Mula-mula berkenalan biasa sahaja. Lama-kelamaan, aku menjadi senang berborak dengan Sarah. Dia peramah dan gemar berjenaka. Saat paling aku suka ialah melihat dia tersenyum. Senyumannya manis sekali membuatkan jantungku sentiasa berdebar-debar. Suatu hari aku meminta untuk bertukar nombor telefon dengannya. Dia bersetuju. Mulai hari itu, hubungan kami berdua menjadi semakin akrab. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kami akan keluar dating di pekan. Kadang-kadang kami keluar makan, kadang-kadang berjalan-jalan sahaja. Suatu hari, Sarah mengajakku berjumpa. Ada urusan penting katanya. Dia memberitahu bahawa dia perlu bantuan kewangan dariku untuk kos perubatan adiknya yang mengalami jantung berlubang. Dia ingin meminjam sebanyak RM5000 dariku. Aku tidak mengesyaki apa-apa, dan meminjamkan wang itu kepadanya.

Selang seminggu, Sarah menelefon lagi, dia kata pembedahan adiknya berjaya, namun dia memerlukan lagi RM5000 untuk kos rawatan lanjut. Dia ingin meminjam dariku lagi. Aku memberitahu aku tidak ada wang sebanyak itu. Kata-kataku itu membuat Sarah menangis. Aku menjadi serba salah. Tiba-tiba aku teringatkan geran tanah peninggalan arwah ayahku. Aku gadaikan tanah sekangkang kera itu dan memberikan RM5000 kepada Sarah. Selebihnya aku simpan untuk diriku. Sarah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, dia berjanji akan memulangkan wang tersebut. Aku merahsiakan perkara ini dari semua orang. Sebulan berlalu, tiada khabar mengenai Sarah. Telefonnya dimatikan. Aku bertanya Hani tentang perihal Sarah. Hani memberitahu Sarah telah berpindah ke luar negara bersama keluarganya. Aku sangat sedih, dan berasa tertipu. Dan itulah kali terakhir aku mendengar nama Sarah. 


Shima 

3 tahun kemudian, aku sudah dapat melupakan Sarah. Aku harap dia bahagia di luar negara bersama wang haram itu. Aku bertemu seorang wanita di firma tempatku bekerja. Namanya Shima.Nak kata cantik tu, tidaklah seberapa, tetapi bentuk badannya boleh membuatkan setiap lelaki terpaku setiap kali melihatnya. Perwatakannya agak kasar tetapi hatinya baik sekali. Perkenalanku dengan Shima pada mulanya hanya sekadar rakan sekerja. Bermula dengan makan tengah hari berdua, lama-kelamaan kami semakin intim. Suatu hari, Shima meluahkan perasaannya kepadaku dan mengajakku menjadi teman lelakinya. Aku menerima pelawaan itu dengan hati yang terbuka. Hidup aku bahagia sekali ketika itu. Kami kerap keluar bersama, dan hampir juga kami terlanjur. Nasib baik aku masih dapat mengawal nafsu dan segera mematikan niat syaitan itu.

Namun langit tidak selalunya cerah, segala-galanya berakhir ketika aku menyatakan hasrat aku untuk mengahwininya. Shima diam seribu bahasa. Mukanya merah padam. Akhirnya Shima membuka cerita. Sebenarnya Shima sudah 3 tahun berkahwin. Hancur luluh jantungku mendengar pengakuan itu. Namun,tambah Shima lagi, suaminya seorang kaki perempuan. Dia jarang pulang ke rumah dan gagal memenuhi peranannya sebagai suami. Shima menjadi sengsara dengan penderitaan itu, namun Shima tidak mahu menuntut cerai kerana masih mencintai suaminya. Shima kemudian akui, selama ini, perhubungan dia dengan aku hanyalah sekadar untuk mengisi kekosongan hatinya yang menderita. Dia juga mengaku tidak pernah ada perasaan cinta terhadapku. Aku terima kenyataan itu dengan berat sekali. 2 hari selepas itu, Shima berhenti kerja. Aku sudah tidak menghubunginya lagi sehingga hari ini. 


Farah 

Ketika usia 34 tahun, saudara-saudaraku semuanya asyik bertanya tentang soal pasangan hidupku. Aku menjadi serba salah. Pertanyaan mereka itu seakan desakan bagiku. Aku juga tertekan kerana rakan-rakanku semuanya sudah bahagia berumah tangga. Hidup mereka senang dan stabil. Timbul juga kesunyian di hatiku. Lalu aku meminta bantuan seorang rakan untuk mencarikan ku seorang gadis untuk dibuat kenalan. Maka, pertemuan pun diaturkan. Aku ditemukan dengan seorang wanita bernama Farah. Kulitnya hitam manis, pinggangnya ramping. Fesyen bajunya menampakkan kematangannya. Dia juga ingin mencari teman untuk dibuat pasangan hidup. Kami berkenalan dan berkongsi latar belakang masing-masing. Aku tidak menceritakan kepadanya tentang apa yang terjadi antara aku dengan Sarah dan Shima, kerana bagiku, biarlah itu menjadi rahsia diriku seorang. Hubungan kami kini menjadi mesra. 4 bulan perkenalan, Farah meluahkan keinginannya untuk berkahwin. Aku terima dengan senang sekali, kerana rasa cinta dan sayangku sudah berputik terhadap Farah. Namun jauh di sudut hati, timbul juga rasa tidak sedap hati.

Beberapa hari kemudian, gerak hati aku itu terbukti benar. Farah datang bertemuku membawa seorang lelaki. Lelaki itu adalah bekas suaminya selepas bercerai talak tiga. Mereka menawarkanku suatu perjanjian. Mereka ingin aku menjadi cina buta. Aku dibenarkan berkahwin dengan Farah dengan syarat aku tidak boleh ‘menyentuh’nya walau dengan apa alasan sekalipun. Dan selepas setahun perkahwinan, aku perlu menceraikan Farah supaya mereka berdua dapat berkahwin semula. Aku juga akan diberikan ganjaran wang sebanyak RM10,000. Dan jika aku bersetuju, aku akan mendapat RM1000 sebagai wang pendahuluan. Ketika itu, aku menjadi patah hati. Sungguh tidak aku sangka aku akan ditipu lagi buat kali ketiga. Maruahku tercabar sebagai seorang lelaki. Lantas aku bangun dari kerusi dan mengembalikan sampul surat berisi wang RM1000 itu. Aku menolak tawaran mereka dengan baik. Kelihatan wajah Farah seperti kecewa dengan penolakan itu. Namun orang yang paling kecewa sebenarnya adalah aku. Lantas aku berpaling, meninggalkan mereka berdua. Beberapa bulan kemudian aku mendapat berita Farah sudah mendapat cina butanya. Tapi aku tak kisah. Soal hidup mereka kini langsung tidak ada kaitan dengan hidupku. 


Suhaidah 

Lima tahun kemudian, hidupku lebih senang. Aku mendapat pekerjaan tetap sebagai seorang guru di bandar. Rumah, kereta, semuanya aku ada. Mungkin ini adalah berkat dari tuhan. Aku bersyukur. Di sekolah itu, aku bertemu dengan seorang guru, Cikgu Suhaidah. Suhaidah, atau lebih mesra dengan panggilan Sue, merupakan seorang janda. Dia kematian suaminya 2 tahun lalu dan kini hidup keseorangan kerana perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat. Umurnya sebaya aku. Wajahnya cantik, pipinya gebu dan tubuhnya montel. Pada mulanya aku tiada perasaan terhadapnya. Mesra itu adalah sikit-sikit, tetapi aku tidak menaruh perasaan terhadap Sue, tidak lebih dari sebagai rakan sekerja. Entah kenapa kami sering menjadi jolokan dan acahan guru-guru lain. Kononnya kami berdua sepadan dan serasi bersama. Kami ketawa sahaja dan langsung tidak mahu memberikan komen terhadap perkara itu. Suatu hari kami berdua ditugaskan untuk mengikuti suatu kursus di Langkawi. Aku tidak tahu kenapa hanya kami berdua sahaja yang terpilih. Mungkin kerana prestasi kerja kami yang cemerlang agaknya.

Kami berdua berangkat ke sana dengan bas yang disediakan, bersama guru-guru dari sekolah lain. Sepanjang kursus selama seminggu itu, kami berdua menjadi semakin rapat. Ke mana sahaja kami berdua. Sehinggakan peserta-peserta kursus di situ mati-mati menjangkakan bahawa kami adalah pasangan suami isteri. Pulang dari kursus, kami menjadi bertambah erat. Hubungan kami kali ini kami akui kepada rakan-rakan guru yang lain. Mereka semua bersetuju kerana bagi mereka, sejak dahulu lagi kami sudah kelihatan serasi bersama. Beberapa tahun kemudian, kami berkahwin. Aku bersyukur kepada tuhan kerana ditemukan jodohku. Suhaidah orangnya lembut dan ikhlas. Dia tidak seperti Sarah yang mata duitan. Dia tidak seperti Shima yang suka memainkan perasaanku. Dia tidak seperti Farah yang memanipulasikan kelelakianku. Dari kaca mataku, Suhaidah merupakan wanita yang cukup sempurna pernah kutemui.

3 tahun perkahwinan, kami masih belum dikurniakan anak. Pelbagai usaha telah kami lakukan namun tidak berhasil. Tetapi aku masih bersabar. Aku yakin tuhan akan membantu sekiranya kita berusaha. Pertengahan tahun itu, aku telah dinaikkan pangkat sebagai seorang pegawai di pejabat pendidikan daerah. Untuk itu, aku perlu menghadiri kursus di Putrajaya. Aku berat hati untuk meninggalkan Sue seorang di rumah, tetapi apakan daya. Hujung minggu itu, aku memandu keretaku ke Putrajaya bagi mengikuti kursus tersebut.

Selang dua hari, kesihatan aku tidak mengizinkan dan aku meminta kebenaran untuk pulang awal dari kursus tersebut. Permohonan aku diluluskan. Dengan kesihatan yang tidak seberapa, aku memandu pulang dari Putrajaya ke Kedah. Sepanjang perjalanan, entah kenapa, aku berasa tidak sedap hati. Setibanya di rumah, aku melihat pintu pagar tidak bertutup. Aku masuk ke rumah dan memanggil isteriku, namun tiada jawapan. Aku naik ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur kami. Aku membuka pintu bilik lalu melihat Suhaidah sedang terbaring tanpa seurat benang di atas katil bersama seorang lelaki yang tidak aku kenali.

Kedua-dua mereka sedang nyenyak tidur dalam keadaan berpelukan. Lemah lututku pada ketika itu. Menitis air mata seorang suami yang dikatakan ego. Hatiku hancur luluh. Isteriku yang aku agung-agungkan selama ini rupa-rupanya sama sahaja dengan perempuan jalang lain yang pernah ku kenali. Sarah, Shima, Farah, Suhaidah, mereka semua sama sahaja. Aku tidak mengejutkan mereka dari tidur. Ya, aku berasa marah, tetapi bukan jenisku untuk melenting dan mengamuk. Dayuskah aku? Aku meninggalkan sepucuk surat dia atas meja. Di dalam surat itu, aku melafazkan cerai talak satu terhadap Suhaidah. Aku berasa tertekan sekali pada ketika itu. Aku lantas membuat keputusan untuk pulang ke kampung. Aku menelefon pihak pentadbir sekolah dan meminta untuk diberikan cuti tanpa gaji selama beberapa bulan atas alasan masalah kesihatan. Aku mengemaskan barang-barangku dan pulang ke kampung. Di kampung ini, aku mencari ketenangan dan mengumpul semangat semula. Namun, walau macam mana aku cuba, kekecewaan itu masih ada dalam diriku.

Selepas beberapa bulan, aku pergi ke bandar semula. Aku menolak tawaran kenaikan pangkat itu, dan juga berhenti kerja sebagai seorang guru. Rumah dan kereta semuanya aku jual. Suhaidah datang berjumpa aku untuk meminta maaf. Aku katakan kepadanya, semuanya sudah terlambat. Cukuplah kaum hawa sekalian menyiksa jiwaku. Setelah itu, aku pulang terus ke kampung ini dan mengusahakan ladang getah secara kecil-kecilan. Biarlah aku hidup dalam dunia aku. Aku fobia.

No comments:

Post a Comment