Sunday, August 18, 2013

Kisah Orang Tua Ditipu

Seorang pakcik tua kelihatan keluh-kesah. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang dia duduk, kadang-kadang dia berdiri. Sesekali dia menjeling ke arah mesin ATM Maybank di hadapannya. Dia mendengus dan menarik nafas panjang.

Bulan lepas, anaknya pulang dari Kuala Lumpur untuk menjenguknya di kampung. Anaknya bekerja sebagai seorang pentadbir awam di sana. Biasanya setiap bulan dia akan mengirimkan wang melalui pos kepada bapanya itu. Namun kali ini, dia terus pulang ke rumah kerana ingin membawa ayahnya ke pekan untuk membuat akaun bank. Dengan adanya akaun bank, mudah untuk dia mengirimkan wang kepada bapanya.

Baru semalam pakcik tua itu menerima panggilan telefon dari anaknya, "Man dah masuk duit kat ayah RM600 untuk bulan ni. Nanti ayah ambil duit tu dekat mesin ATM. Senang saja, buat macam yang Man ajar hari tu ok" kata anaknya.

Itulah yang menjadi masalah sekarang. Pakcik itu terlupa bagaimana cara untuk menggunakan mesin ATM tersebut. Hendak telefon si Man, takut-takut mengganggu dia bekerja. Mahu tak mahu dia terpaksa meminta bantuan orang di situ.

"Pakcik nak cucuk duit ka?" sapa seorang pemuda dari belakang.

Pakcik itu menoleh. Seorang anak muda tersenyum di belakangnya. "Haa.. anak pakcik si Man tu bubuh duit semalam, pakcik tak reti pakai benda ni" pakcik itu berkata sambil menunjukkan kad bank ATM miliknya.

"Kebetulan saya pon nak cucuk duit jugak ni, takpa biar saya ajar pakcik pakai mesin ATM ni" balas pemuda itu dan terus membawa pakcik menghampiri mesin ATM itu.

"Okey, pakcik tekan butang Bahasa Malaysia"

"Okey pakcik masukkan nombor PIN pakcik. Nombor ni pakcik jangan bagi kat orang lain, takut orang curi duit pakcik nanti. Saya pon takleh tengok nombor ni. Pakcik tekan dulu, dah siap panggil saya"

"Dah siap? Ok sekarang pakcik tekan butang 'Simpanan' dan kemudian masukkan jumlah wang yang pakcik nak bawak keluar"

Satu persatu pemuda itu mengajar pakcik itu cara untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM itu. Terangguk-angguk pakcik itu, kagum dengan kecanggihan teknologi zaman sekarang. Tekan sana tekan sini, duit keluar.

"Pakcik...", tiba-tiba pemuda itu bersuara, mengejutkan pakcik itu yang sedang mengelamun.

"Awat, duit aku takdak ka dalam ni?", pakcik itu menggelabah.

"Eh ada, ada.. tapi pakcik kena ambil kat dalam. Kat sini tempat cucuk kad saja" kata pemuda itu.

"Oh macam tu pulak. Tunggu sat nah, pakcik masuk ambik", perlahan-lahan pakcik berjalan dengan tenang, masuk ke dalam bank untuk mengambil wang yang dikirim oleh anaknya.



Seketika kemudian, pakcik itu keluar dari bank dengan muka kehairanan. "Mana satu ni, sat kena amik kat dalam, sat kena ambik kat luar", pakcik itu mengeluh. Dilihatnya pemuda tadi sudah menghilangkan diri. Yang tinggal hanya kad ATM nya sahaja di atas lantai.

No comments:

Post a Comment