Sunday, August 18, 2013

Amir Sembayang Raya

"Amir, bangun! Dah pukul 9 suku" Suara ibunya menyergah di pintu bilik. Melompat Amir dari katil, "Hah? Dah pukul 9 suku? Alamak kenapa ibu tak kejut awal? Amir nak pegi sembahyang raya!" rungut Amir sambil bergegas membuka baju dan seluar.

"Mana aku tahu. Selalu tiap tahun kau malas nak pergi. Asal nak sembahyang raya je time tu lah kau gastrik", sindir ibunya sambil menuruni tangga, dengan tangannya yang masih memegang senduk.

Amir bergegas memakai tuala dan terus ke bilik air di tingkat bawah. Kecebush! Kecebush! Kecebush! Sejuk benar air kolah di rumahnya, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk ke surau.

Selesai mandi Amir memakai baju Melayunya. "Mak tak pergi sembahyang ke?" soal Amir separuh menjerit kepada ibunya di dapur.

"Aku cuti hari ni" ibunya membalas.

"Iyelah tu cuti, asal raya je cuti" kata Amir tersengih lalu mencapai kunci motornya.

"Aku senduk jugak mulut budak ni karang" kata ibunya bernada geram.

"Vrooomm!!" Amir menghidupkan motornya lalu terus memecut ke surau. Tak sampai 5 minit, Amir tiba di perkarangan surau. Orang ramai penuh di surau, sehingga ke lantai luar. masing-masing sedang mendengar khutbah raya.

"Fuhh nasib baik khutbah tak habis lagi" kata Amir tersenyum. Nampaknya tahun ini tercapai hasratnya untuk sembahyang raya. Amir lantas tidak membuang masa, menyelit ke dalam surau lalu mencari tempat untuk duduk. Sebaik sahaja duduk, Amir senyum dengan bangga sekali. Tidak cukup dengan itu, dia bersalaman dengan orang di kiri, kanan, depan, hatta di belakangnya sekalipun. Wah gembira benar Amir dapat bersembahyang raya tahun ini ya...

Selesai khutbah. Semua orang berdiri. Amir pun terus berdiri lalu membetulkan-betulkan kain pelekatnya. Dia berbaris untuk membuat saf. Tiba-tiba dia melihat orang ramai bersalam-salaman. 

"Aik? Apsal diorang salam sebelum sembahyang? Selalu lepas sembahyang baru salam." bisik hati Amir.

Kemudian, semua orang keluar dari surau, tinggallah Amir seorang sahaja yang berbaris dalam saf. Amir bertambah hairan. Lalu didekatinya seorang pakcik yang duduk berdekatan dengannya ketika khutbah tadi.

"Takda sembahyang raya ke hari ni?" Amir bertanya.

Pakcik itu memandang muka Amir atas dan bawah.

"Itulah kau, sembahyang setahun sekali. Dah habis sembahyang lah. Sembahyang raya tak macam sembahyang Jumaat. Orang sembahyang dulu, baru khutbah" kata pakcik itu tersengih.

Amir terasa dirinya malu. Dia kemudian sedar bahawa orang di sekililing semua senyum-senyum melihatnya. Lantas Amir menghidupkan enjin motor lalu memecut pulang ke rumah.

Hari itu, seharian Amir tidak keluar rumah.

No comments:

Post a Comment